Assalamualaikum dan salam sayang untuk semua pembaca.
Jadi, hari ini Yaya tertarik untuk menulis mengenai stres dan perubahan yang terjadi kepada otak kita. Yaya pasti kita semua mengalami stres, tapi tahukah anda apa yang terjadi pada otak kita sekiranya kita mengalami stres?
![]() |
| Stres mampu membunuh- ihsan Google |
Baiklah. Disini Yaya ulaskan sikit antara perkara-perkara yang terjadi kepada otak bila kita stres.
1)Stres membunuh sel-sel otak.
Stres terjadi disebabkan oleh sejenis hormon Glucocorticoid yang bernama Cortisol. Cortisol kekal lebih lama dalam badan menjadikan kesan yang dialami oleh seseorang individi itu lebih berpanjangan lagi.
Sebenarnya, otak mampu menjana semula sel-sel yang baru. Setiap hari kita mengalami kehilangan sel-sel otak dan setiap hari jugalah kita berpeluang untuk menjana sel-sel yang baru. Tahukah anda bahawa setiap kali kita belajar sesuatu yang baharu, sel-sel baru akan dijana di dalam bahagian hippocampus otak?
Eh, sekejap. Apa pula hippocampus otak?
| Hippocampus yang mempunyai persamaan bentuk dengan kuda laut-Ihsan Google |
Hippocampus, berasal daripada perkataan Greek iaitu hippo(kuda) dan kampus(raksasa laut). Hippocampus memainkan peranan penting dalam menukarkan memori jangka masa pendek kepada memori jangka masa panjang.
Jadi, dalam beberapa kajian di dapati bahawa kandungan cortisol yang banyak dalam jangka masa panjang mampu menyebabkan sel-sel baru yang dijana akan mati! Jadi janganlah jadi pembunuh kepada sel-sel otak sendiri. Okay?
Tambahan lagi, cortisol mampu menyebabkan penghasilan glutamate, sejenis neurotransmitter yang menghasilkan radikal bebas dalam erti kata lain akan menyerang sel-sel otak. Perumpaan yang paling mudah ialah seperti oksigen yang menyebabkan proses pengaratan pada besi.
Hmm.. nampaknya sekarang kita tahulah sebab kenapa kita susah nak ingat ilmu bila kita stres jangka masa lama. *emoji berfikir*
2)Mengurangkan penghasilan bahan kimia penting dalam otak.
Stres yang kronik mampu mengurangkan penghasilan dua hormon utama yang amat penting dalam kehidupan seharian. Dua hormon yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan ialah serotonin dan dopamine.
Serotonin ialah hormon yang bertanggungjawab untuk membuatkan kita berasa gembira. Dopamin pula ialah kawan seangkatan yang memberikan motivasi kepada kita. Tanpa kedua-duanya, ia akan memberikan kesan kepada emosi, pembelajaran, pengawalan selera dan juga waktu tidur.
Itulah sebabnya stres yang kronik mampu menyebabkan kemurungan.
3)Stres mampu mengurangkan saiz otak.
Ha? Otak pun boleh jadi mengecil? Macam span pulak kedengarannya. Memang betul. Stres mampu mengurangkan saiz otak. Stres mampu mengurangkan kandungan jirim kelabu (grey matter) pada otak yang berkaitan dengan emosi dan kawalan kendiri.
![]() |
| Prefrontal Cortex- Ihsan Google |
Nak stres lagi? Habislah. Tak cukup berkembang Prefrontal cortex macammana?
Tapi jangan risau, kajian juga menunjukkan yang saiz otak boleh kembali normal sekiranya kita tidak stres lagi. Cuma janganlah stres lama-lama sangat.
4)Stres menyebabkan sesetengah fungsi penting terhenti dan menajamkan sesetengah fungsi yang lain.
Adrenalin yang dibebaskan sewaktu kita mengalami stres untuk menyediakan kita dengan respon lari atau lawan (flight and fight response). Sehubungan dengan itu, deria lain seperti pendengaran dan penglihatan menjadi lebih cekap untuk menjadikan kita lebih bersedia untuk menghadapi ancaman yang lain.
Manakala kesan negatifnya pula ia menyekat fungsi-fungsi lain yang tidak penting untuk respon lari atau lawan seperti pertumbuhan dan immuniti. Salah satu kesan lagi ialah stres akan membuatkan kita berasa lebih lali kepada kesakitan. Yalah, kalau kita asyik rasa sakit, macammana kita nak kawal situasi yang memerlukan kita berlari atau berlawan untuk menyelamatkan diri?
Jadi, *emoji berfikir*, mungkin itulah sebabnya sesetengah dari kita dah minum susu berkotak-kotak pun tak tinggi-tinggi. Mungkin stres agaknya. Hehehe.
Sebenarnya banyak lagi kesan-kesan yang berlaku sekiranya kita stres. Namun, secara ringkasnya, ini merupakan antara perubahan utama yang terjadi kepada otak. Stres amat perlu dalam keadaan yang darurat, tetapi stres untuk perkara-perkara yang tak penting, nampaknya tak perlulah ya!
Sekian sahaja entri kali ini. Kalau ada tersilap maklumat yang anda baca dari entri ini, boleh lah berikan komen supaya saya mampu membetulkannya.
Sekian, salam sayang, jangan stres-stres ya!
Sumber rujukan
-https://bebrainfit.com/effects-chronic-stress-brain/
-http://www.huffingtonpost.com/2014/11/18/brain-stress_n_6148470.html
-http://stress.lovetoknow.com/How_Does_Stress_Affect_the_Brain


No comments:
Post a Comment