expr:class='"loading" + data:blog.mobileClass'>

Monday, 23 January 2017

Mengapa sesetengah orang lebih suka digigit oleh nyamuk?

Nyamuk. Makhlus halus yang suka mengganggu ketenteraman hidup kita. Paling tak tahan kalau tengah tidur nyenyak dan terbangun sebab digigit nyamuk pula. Yaya selalu jadi mangsa digigit nyamuk di rumah ini. Kalau ada ibu Yaya dengan Yaya kat ruang tamu, maka Yayalah yang dijadikan mangsa!

Okaylah. Kenapa Yaya tiba-tiba nak cerita pasal nyamuk pula ni? Satu, nyamuk berpotensi bawak pelbagai virus seperti virus Zika,denggi,malaria dan banyak lagi. Pagi ni sempat terjumpa nama virus West Nile yang tak pernah Yaya dengar sebelum ini. Apa-apa pun, kita cerita pasal virus West Nile lain kali. Sekarang, kenapa sesetengah orang macam Yaya lebih suka digigit nyamuk??? Dan kebanyakan  faktornya daripadanya tak dapat diubah pun. Hmmm. 
Sumber-Pinterest

1)Kadar gas karbon dioksida yang dibebaskan. 
Semua yang masih hidup mestilah bernafas bukan? Jadi, dalam apa-apa keadaan sekalipun kita tetap akan membebaskan gas karbon dioksida dimana senang di mana memudahkan urusan nyamuk untuk mencari anda. Itulah sebabnya kalau dalam satu kumpulan, hierarki yang mudah digigit itu meningkat dari yang si kecil sehinggalah yang dah dewasa. Semakin kita dewasa, semakin banyak lah karbon dioksida yang dibebaskan berbanding kita yang kecil dulu. Betul tak?

2)Warna pakaian yang dipakai.
Wah, memilih betul nyamuk ni! Ha, mungkin ini boleh diubah. Barangsiapa yang suka sangat memakai warna biru, hitam atau merah memang senang untuk dijumpai oleh nyamuk. Jadi, kalau nak pergi mengembara kemana-mana elakkan lah memakai baju dengan warna-warna sedemikian. *kalau bolehlah. Kalau macam Yaya memang suka warna biru. 

Rasanya kalau kartun Smurf ni betul-betul wujud, mungkin lagi senang kena gigit nyamuk

3)Wanita yang mengandung.
Rasanya virus denggi pun dah cukup menakutkan apatah lagi virus Zika. Macam yang Yaya dah beritahu tadi, semakin tinggi gas karbon dioksida yang kita bebaskan semakin senang kita menjadi tumpuan nyamuk-nyamuk durjana tu! Kajian mendapati bahawa wanita mengandung menghadapi risiko dua kali ganda untuk digigit oleh nyamuk berbanding yang tidak mengandung. Ini kerana wanita mengandung membebaskan kira-kira 21 peratus lebih karbon dioksida. Yalah, nama pun mengandung, kan? Jadi, musim-musim denggi jangan lah sibuk nak keluar senja-senja. Sayangi diri anda.

4)Kumpulan darah.
Kan Yaya dah beritahu, kebanyakan faktor memang tak dapat nak diubahpun. Takkan lah nak ubah kumpulan darah pula? Kajian mendapati bahawa orang dengan kumpulan darah O dua kali ganda lebih menarik perhatian nyamuk berbanding jenis darah yang lain. Kumpulan darah A paling kurang menarik perhatian. *Kalau orang yang kumpulan darah A duduk dengan kumpulan darah O, kemungkinan nak selamat tu memang tinggi. 
Comel betul, pandai dia lukis.-Google


5)Rembesan oleh tubuh badan (Secretions) 
80 peratus dari kita adalah golongan yang membebaskan kompaun yang dikenali sebagai sakarida dan antigen pada permukaan kulit yang memberikan maklumat mengenai jenis darah yang kita miliki dimana ia sangat lah berkaitan dengan isi yang keempat tadi. Lagi 20 peratus yang agak "berahsia" tu mungkin adalah kalangan kawan-kawan kalian yang kalau dah tak ada orang lain nak digigit baru nak nyamuk-nyamuk cari beliau. Hihihi. 

6)Asid laktik
Asid laktik lebih banyak dibebaskan pada kulit sewaktu anda aktif atau apabila makan sesetengah makanan. Pastikan anda mandi ya lepas melakukan senaman atau dah melakukan aktiviti lasak. Jangan tidur terus, nanti senang kena gigit nyamuk. 

7)Bakteria pada permukaan kulit anda.  
Ringkas dikatakan, bakteria pada permukaan kulit anda sangat senang menarik nyamuk-nyamuk untuk gigit anda. Itulah sebabnya tambahan kepada asid laktik tadi, peluh yang dibiarkan lama menjadi tempat bakteria membiak sekaligus membebaskan aroma yang 'wangi' dihidu oleh nyamuk. Itulah sebabnya nyamuk lebih suka gigit kaki. Yalah, lagi-lagi siapa yang pakai stokin dua tiga hari tak basuh. *rajin-rajinkah basuh stokin lepas ni. Hehehe. Ps:Hati-hati juga bila memilih minyak wangi, sebab sesetengah wangian menarik lebih banyak nyamuk. Kalau rasa-rasa asyik kena gigit nyamuk walaupun dah wangi sila tukar minyak wangi lain. 

Rumusan:

Kebanyakan daripada faktor-faktor yang dinyatakan diatas sebenarnya berlaku secara semulajadi yang kita tak dapat nak elakkan. Sesetengah orang cuma boleh dikatakan secara genetiknya memang disukai oleh nyamuk! Ya, janganlah sedih sangat kalau anda 'forever alone'.Pasti ada yang suka walaupun golongan nyamuk. Eh? Tak suka? Jangan marah. 

Adapun artikel ini untuk menyebarkan kesedaran terutama kepada golongan-golongan yang lebih senang digigit nyamuk. Segala kekasaran mohon ampun dan maaf. Majulah sains untuk bangsa! Yeah.

Rujukan-
-https://www.bustle.com/articles/170224-are-mosquitos-more-attracted-to-certain-blood-types-why-some-people-get-bitten-more-than-others
-http://www.treehugger.com/health/7-reason-mosquitoes-bite-some-people-more-others.html
-https://www.mosquitnoband.com/why-do-mosquitoes-like-me-more-than-anyone-else/


Thursday, 29 December 2016

Kesan-kesan evolusi yang masih ada pada anda hari ini.

Teori Charles Darwin yang mengatakan kita berasal dari monyet kebanyakannya tidak boleh diterima oleh akal orang ramai bukan? Jadi mengapa hari ini kita masih berbual mengenai evolusi?

Walauapapun, sebenarnya evolusi memang berlaku dan ada sebab-sebab yang tertentu disebaliknya. Memandangkan dunia dah semakin maju, mana nak sama dengan kehidupan manusia beratus ribu tahun dahulu kan?

Disini Yaya akan rangkum dan ringkaskan beberapa ciri-ciri tinggalan kecil evolusi yang masih ada pada kita hari ini.

1.Gigi Bongsu. (Wisdom Teeth)
Kedudukan Gigi Bongsu-Ihsan Google 

Ilustrasi Gigi Bongsu yang menganggu gigi yang lain-Ihsan Google.

Kebiasaannya, gigi bongsu atau dikenali sebagai Wisdom Teeth ini sangatlah menyusahkan lagi menyakitkan. Sebenarnya dalam keadaan waktu sekarang, kehadiran gigi bongsu ni tak penting pun. Orang kata kalau nak cabut gigi bongsu ni mahu demam dua tiga hari sebab sakit.

Jadi, apa kaitan dengan evolusi? Ha. Disebabkan pemakanan manusia zaman dulu-dulu yang lebih banyak berasaskan makanan yang keras dan liat, berbeza dengan kita zaman sekarang yang makan daging pun dengan bantuan enzim untuk melembutkannya, kehadiran gigi bongsu sangat penting ketika itu. Boleh kaitkan lah, gigi bongsu zaman sekarang ni tahan lasak dan susah nak tercabut. Jadi kalau nak guna kunyah makanan yang keras dan liat pun tak ada lah tertanggal gigi tu. 

2.Apendiks
Apendiks-Ihsan Google
Rasanya ramai tahu yang saintis pun masih tak jumpa apa fungsi si apendiks ni. Biasanya kalau ada masalah, pembedahan buang apendiks ni tak menjejaskan kehidupan pun.

Tapi, sesetengah saintis kata berkemungkinan ini adalah tinggalan daripada ciri-ciri asal nenek moyang kita. Maksudnya apendiks boleh jadi lebihan organ yang menempatkan bakteria berguna untuk mencernakan makanan penuh dengan selulosa.

Yalah, agaknya susah nak dapatkan makanan yang berkanji berbanding yang berselulosa.

3.Mata yang berwarna biru
Ihsan-Google
Baiklah. Benda ni mungkin bukan perkara biasa di Asia Tenggara especially Malaysia. Percayalah, saintis kata satu masa dahulu kesemua manusia bermata perang gelap. Ya! Sama macam kebanyakan dari kita.

Dikatakan evolusi mata berwarna biru ini terjadi apabila nenek moyang kita berhijrah ke tempat yang kurang intensiti cahaya seperti di Eropah. Jadi, warna mata juga bertukar menjadi biru terang supaya memudahkan penembusan cahaya untuk penglihatan yang lebih baik. Berbanding dengan kita yang menerima pancaran matahari sepanjang tahun, rasanya perlu pakai cermin mata hitam kot.

4.Goosebumps (rasa seram sejuk)

Tak kisahlah macammana kita nak kata. Rasa seram sejuk atau biasa kita kata fenomena 'bulu roma meremang ini merupakan salah satu tinggalan evolusi pada kita. Kalau sesiapa rajin boleh lah tengok spesies manusia zaman dahulu selain kita sekarang "Homo Sapien" atau "Wise Man" dekat internet. Salah satunya ialah Homo Habilis.

Dipercayai goosebumps ni ada kaitan dengan mekanisma lari atau lawan untuk manusia primitif zaman dahulu. Disebabkan manusia primitif lebih banyak bulu roma berbanding kita sekarang, apabila terjadinya goosebumps ini akan membuatkan mereka tampak lebih besar daripada biasa kepada pemangsa. Jadi, ia satu mekanisma pertahanan juga buat manusia

Sampai sekarang kita juga tahu yang goosebumps ini berfungsi untuk menebat haba daripada daripada terlalu banyak dibebaskan oleh badan sewaktu rasa sejuk. Hmm.

5.Refleks menggenggam (Palmar Grasp Reflex)

Yaya suka letakkan jari kelingking dekat tangan bayi sebab dia akan genggam jari yaya tu dengan kuat. Biasanya bayi memang begitu pun. Betul tak? Kalau tak percaya, boleh cuba lah.

Sebenarnya dipercayai refleks menggenggam ini juga adalah tinggalan kecil daripada proses evolusi. Disebabkan manusia dulu selalu berpindah randah dan mungkin terdedah kepada bahaya, jadi bayi pada zaman itu perlu berpegang kuat kepada ibunya sewaktu proses berpindah randah dijalankan. Mungkin pada baju dan sebagainya. Kalau tiba-tiba ada harimau mengejar, tak perlulah dukung bayi tersebut dan boleh lah memanjat pokok dengan kedua-dua belah tangan.

Refleks menggenggam ini dikatakan akan hilang setelah bayi berusia lebih kurang enam bulan. Hebat kan?

6. Otot Palmaris longus.
Otot Palmaris longus-Ihsan Google

Percaya atau tidak, urat keras dekat pergelangan tangan anda tu mungkin tak ada pada kawan anda. Ya, itulah otot Palmaris longus. Palmaris longus dikatakan sangat berguna pada manusia zaman dahulu untuk menguatkan genggaman untuk memanjat dan sebagainya. 

Dalam sesetengah haiwan, otot ini lebih panjang membolehkan mereka memanjat dengan lebih efisien. Tak hairan juga. Sebab ada je nenek moyang kita beribu tahun dahulu bina rumah atas pokok dan sebagainya. 

Sekarang, otot Palmaris longus ni tak memberikan kesan pun pada kekuatan genggaman kita sekarang. Itulah sebabnya kadang-kadang otot ini diambil untuk rekonstruksi bahagian badan lain yang memerlukan. 

10-15 peratus manusia dekat dunia ni dah tak ada dah benda alah tu. Peace!

Rumusan...

Perdebatan masih berlaku dengan bukti-bukti kesan tinggalan kecil terhadap evolusi ni. Walaupun sesetengah saintis percaya yang sesetengah organ macam gigi bongsu atau apendiks tu tak penting, kita tahu yang setiap benda di ciptakan ada fungsinya. Mungkin kita yang tak jumpa lagi.

Macam otot palmaris longus, adalah satu kelebihan untuk orang-orang yang ada. Manalah tahu satu hari memerlukannya pula. 

Mungkin ada yang percaya manusia berasal dari monyet macam teori evolusi Darwin tu, tapi ramai juga yang tidak percaya. Semua ini terpulanglah pada anda untuk menilai. Tujuan Yaya menulis hanyalah semata-mata untuk membangkitkan rasa ingin tahu dan kagum dengan ciptaan Tuhan. Sekian, kalau salah tolong tunjukkan. 

PS: Macam Yaya sendiri, gigi bongsu Yaya dalam keadaan yang tegak dan taklah mengganggu gigi yang lain. Berguna jugaklah untuk mengunyah. Hehehe.





Rujukan:
http://io9.gizmodo.com/5829687/10-vestigial-traits-you-didnt-know-you-had
http://australianmuseum.net.au/how-have-we-changed-since-our-species-first-appeared
http://mentalfloss.com/article/50302/6-surprising-examples-human-vestigiality
http://www.dailymail.co.uk/sciencetech/article-3502679/The-evolutionary-leftovers-bodies-Video-reveals-tailbone-forearms-ears-tell-ancestors.html
http://www.sciencealert.com/watch-proof-of-evolution-that-you-can-find-on-your-own-body

Wednesday, 14 December 2016

Kesan Stres dan Anda-Masih mahu stres lagi?


Assalamualaikum dan salam sayang untuk semua pembaca.

Jadi, hari ini Yaya tertarik untuk menulis mengenai stres dan perubahan yang terjadi kepada otak kita. Yaya pasti kita semua mengalami stres, tapi tahukah anda apa yang terjadi pada otak kita sekiranya kita mengalami stres?

Stres mampu membunuh- ihsan Google


Baiklah. Disini Yaya ulaskan sikit antara perkara-perkara yang terjadi kepada otak bila kita stres.

1)Stres membunuh sel-sel otak.

Stres terjadi disebabkan oleh sejenis hormon Glucocorticoid yang bernama Cortisol. Cortisol kekal lebih lama dalam badan menjadikan kesan yang dialami oleh seseorang individi itu lebih berpanjangan lagi.

Sebenarnya, otak mampu menjana semula sel-sel yang baru. Setiap hari kita mengalami kehilangan sel-sel otak dan setiap hari jugalah kita berpeluang untuk menjana sel-sel yang baru. Tahukah anda bahawa setiap kali kita belajar sesuatu yang baharu, sel-sel baru akan dijana di dalam bahagian hippocampus otak?

Eh, sekejap. Apa pula hippocampus otak?

Hippocampus yang mempunyai persamaan bentuk dengan kuda laut-Ihsan Google

Hippocampus, berasal daripada perkataan Greek iaitu hippo(kuda) dan  kampus(raksasa laut). Hippocampus memainkan peranan penting dalam menukarkan memori jangka masa pendek kepada memori jangka masa panjang. 

Jadi, dalam beberapa kajian di dapati bahawa kandungan cortisol yang banyak dalam jangka masa panjang mampu menyebabkan sel-sel baru yang dijana akan mati! Jadi janganlah jadi pembunuh kepada sel-sel otak sendiri. Okay?

Tambahan lagi, cortisol mampu menyebabkan penghasilan glutamate, sejenis neurotransmitter yang menghasilkan radikal bebas dalam erti kata lain akan menyerang sel-sel otak. Perumpaan yang paling mudah ialah seperti oksigen yang menyebabkan proses pengaratan pada besi.

Hmm.. nampaknya sekarang kita tahulah sebab kenapa kita susah nak ingat ilmu bila kita stres jangka masa lama. *emoji berfikir*

2)Mengurangkan penghasilan bahan kimia penting dalam otak.

Stres yang kronik mampu mengurangkan penghasilan dua hormon utama yang amat penting dalam kehidupan seharian. Dua hormon yang dimaksudkan tidak lain dan tidak bukan ialah serotonin dan dopamine.

Serotonin ialah hormon yang bertanggungjawab untuk membuatkan kita berasa gembira. Dopamin pula ialah kawan seangkatan yang memberikan motivasi kepada kita. Tanpa kedua-duanya, ia akan memberikan kesan kepada emosi, pembelajaran, pengawalan selera dan juga waktu tidur.

Itulah sebabnya stres yang kronik mampu menyebabkan kemurungan.

3)Stres mampu mengurangkan saiz otak.

Ha? Otak pun boleh jadi mengecil? Macam span pulak kedengarannya. Memang betul. Stres mampu mengurangkan saiz otak. Stres mampu mengurangkan kandungan jirim kelabu (grey matter) pada otak yang berkaitan dengan emosi dan kawalan kendiri.

Prefrontal Cortex- Ihsan Google
Pengecilan saiz juga berlaku pada kawasan Prefrontal cortex juga memberikan kesan kepada kehidupan anda. Kalau nak tahu, sebenarnya kawasan Prefrontal cortex ini juga masih berkembang sehinggalah umur kita 25 tahun! Prefrontal cortex yang terlibat dalam penilaian adalah punca kenapa remaja masih tak matang nak buat penilaian sebab bahagian ini masih sedang berkembang.

Nak stres lagi? Habislah. Tak cukup berkembang Prefrontal cortex macammana?

Tapi jangan risau, kajian juga menunjukkan yang saiz otak boleh kembali normal sekiranya kita tidak stres lagi. Cuma janganlah stres lama-lama sangat.

4)Stres menyebabkan sesetengah fungsi penting terhenti dan menajamkan sesetengah fungsi yang lain.

Adrenalin yang dibebaskan sewaktu kita mengalami stres untuk menyediakan kita dengan respon lari atau lawan (flight and fight response). Sehubungan dengan itu, deria lain seperti pendengaran dan penglihatan menjadi lebih cekap untuk menjadikan kita lebih bersedia untuk menghadapi ancaman yang lain.

Manakala kesan negatifnya pula ia menyekat fungsi-fungsi lain yang tidak penting untuk respon lari atau lawan seperti pertumbuhan dan immuniti. Salah satu kesan lagi ialah stres akan membuatkan kita berasa lebih lali kepada kesakitan. Yalah, kalau kita asyik rasa sakit, macammana kita nak kawal situasi yang memerlukan kita berlari atau berlawan untuk menyelamatkan diri?

Jadi, *emoji berfikir*, mungkin itulah sebabnya sesetengah dari kita dah minum susu berkotak-kotak pun tak tinggi-tinggi. Mungkin stres agaknya. Hehehe.


Sebenarnya banyak lagi kesan-kesan yang berlaku sekiranya kita stres. Namun, secara ringkasnya, ini merupakan antara perubahan utama yang terjadi kepada otak. Stres amat perlu dalam keadaan yang darurat, tetapi stres untuk perkara-perkara yang tak penting, nampaknya tak perlulah ya!

Sekian sahaja entri kali ini. Kalau ada tersilap maklumat yang anda baca dari entri ini, boleh lah berikan komen supaya saya mampu membetulkannya.

Sekian, salam sayang, jangan stres-stres ya!

Sumber rujukan
-https://bebrainfit.com/effects-chronic-stress-brain/
-http://www.huffingtonpost.com/2014/11/18/brain-stress_n_6148470.html
-http://stress.lovetoknow.com/How_Does_Stress_Affect_the_Brain

Thursday, 17 November 2016

Acetobacter xylinum-Bakteria mengagumkan dalam Nata de-coco!

Assalamualaikum dan salam sejahtera!

Sejak blog ini diwujudkan pada Disember 2014, hanya kini baru menerbitkan kiriman yang pertama. Alhamdulillah, seiring dengan nama "Ensiklopedia Comel", nama panggilan comel saya ialah Yaya.

Baiklah, sedikit pemberitahuan. Sebenarnya blog Ensiklopedia Comel ialah salah satu daripada anak-anak di bawah organisasi Projek PEMIKIR dimana satu projek yang berwawasan untuk menyebar ilmu melalui pelbagai platform media dan juga menggalakkan budaya berfikir secara teratur dan bijak. Jadi, Yaya mengambil inisiatif untuk memulakan satu blog dalam bahasa ibunda dan kebanyakan daripada kiriman-kiriman penulisan di blog ini pada akan datang berkisar pada topik-topik luar silibus kebanyakannya dalam subjek biologi, kimia atau biokimia. Mungkin sekali-sekala Yaya akan menulis mengenai sejarah juga. ^_^

Okay, kita kembali kepada topik asal. Acetobacter xylinum. Ada sesiapa pernah makan Nata de-coco tak? 

Bagi sesiapa yang tak pasti Nata de-coco tuh apa ni lah dia. benda yang bentuk kiub tu. Ihsan dari Google.

Okay semua. Sedap kan makan Nata de-coco? Ha, sepanjang 17 tahun hidup baru Yaya tahu yang Nata de-coco tu diperbuat daripada air kelapa. Tunggu! Ha, tak mungkin hanya air kelapa je kan dah memadai untuk buat makanan yang sedap ni? Saya tak ada resepi tapi antara bahan-bahan lain ialah cuka, gula dan air. Sudah tentu air tu penting, kalau tak tak ada hidupan yang boleh hidup. Termasuklah kita, kan?

Dan bahan yang paling penting ialah bakteria Acetobacter xylinum. Jeng jeng jeng!


Bentuk Bakteria Acetobacter xylinum. Ihsan-Google

Jadi, apa sebenar-benar fungsi bakteria ni? Bukan berbahaya ke letak bakteria dalam makanan? Jangan risau, ini bakteria baik. Huhuhu.

Apa yang menarik mengenai bakteria ini ialah ia mampu menghasilkan selulosa, atau fiber dalam tumbuhan yang kita susah nak kunyah tu. Biasanya sayur lah kan. Pendek kata biasanya selulosa ni dihasilkan oleh tumbuhan je lah. Entah macammana tiba-tiba bakteria ni ada kebolehan sama. Kagum tak?

Itulah sebabnya kalau perasan, bila kita kunyah lama-lama Nata de-coco tuh tak hancur-hancur pun. Sebab ada selulosa. Kita mana ada enzim nak hancurkan selulosa. Lepas ni waktu makan Nata de-coco tu boleh lah kenang-kenang bakteria mengagumkan ni!

Acetobacter xylinum. Yaya nak share sikit kenapa dia dapat nama begitu. Acetobacter ialah genus bakteria asid asetik atau nama lainnya "cuka". *Nampak dah kan kenapa kita kena letak cuka dalam pembuatan Nata de-coco. Secara umumnya, genus Acetobacter ni mampu menukarkan etanol kepada asid asetik dengan kehadiran oksigen. 

Kalau jumpa mana-mana bakteria lain yang ada permulaan "Acetobacter" ingatlah bakteria asid asetik. 

Satu lagi fakta mengenai Acetobacter xylinum ialah ianya sejenis bakteria Gram-negatif. Haish, dah bercerita pasal negatif dan positif pula. Tak mengapa, untuk permulaan biar Yaya perincikan apakah itu bakteria Gram-negatif. Kalau dah ada bakteria Gram-negatif mestilah ada bakteria Gram-positif.

Perbezaan antara bakteria Gram negatif dan Gram positif dari segi dinding sel.
Perbezaan ketara antara kedua-dua bakteria ialah kehadiran "lipopolysaccharide" yang mana merupakan molekul besar yang berasaskan lipid dan polisakarida disertai dengan O-antigen. 

lipopolisakarida

Pendek kata, kehadiran lipopolisakarida ni adalah penyebab kepada kesan-kesan negatif kepada badan kita seperti demam dan sebagainya. Sebab O-antigen merupakan toksik dan badan kita memberikan reaksi sekiranya terdapat bakteria Gram-positif menceroboh badan kita. Walaubagaimanapun, bakteria Gram-negatif adalah lebih tahan lasak sebab ia ada lebih banyak lapisan perlindungan. Tapi tak bermakna tak ada cara nak hapuskan lipopolisakarida tu. :)

Sekiranya terdapat mutasi pada struktur atau ianya dibuang, maka bakteria Gram-negatif tersebut pun akan mati.

Jadi macammana rakan-rakan? Dah kenal sedikit sebanyak pasal bakteria? Ha. Saya sendiri pun baru tahu hari ini. Boleh lah sebagai asas kepada pengetahuan sebabnya kita organisma hidup takkan pernah lari dari mikroorganisma ni. 

Oh! Lagi satu. Lupa saya nak tulis. Kalau nak tahu, saintis juga tengah teroka kegunaan lain Acetobacter xylinum ni. Antara aplikasi yang menarik perhatian saya ialah "menghasilkan kertas yang lebih kuat tanpa kehadiran tumbuhan atau pokok." Jadi tak perlu tebang pokok banyak-banyak. Ada apa-apa cadangan lain tak? Hmmm *berfikir*

Akhir kalam, biasakan lah diri bertanya dan tertanya-tanya tapi janganlah biarkan pertanyaan itu tetap menjadi satu pertanyaan. 

Sumber maklumat dan gambar-Google, Inspirasi-video di Facebook.